Bagi sesetengah anak, tulisan Jawi mungkin nampak seperti sesuatu yang sukar. Tapi jangan risau , ini bukan perkara yang luar biasa ! Kita sebagai ibu bapa boleh bantu mereka melalui pelbagai cara yang mampu mendatangkan keseronokan dan lebih berkesan. Yang penting , kita kena sabar , kreatif , dan pastikan anak anak tidak akan merasakan yang SUBJEK JAWI itu susah . Jom tengok beberapa cara yang boleh bantu anak-anak – Cara Bantu Anak Lemah Subjek Jawi
Tips Mudah Untuk Ibu Bapa Amalkan Bersama Anak
1. Mulakan dengan Huruf Asas
Nak belajar Jawi, mestilah mula dengan yang asas! Ajar anak-anak huruf Jawi satu per satu. Fokuskan pada huruf yang serupa, macam ba, ta, dan tha, sebab kalau tak hati-hati, mereka boleh keliru. Boleh juga guna kad imbas yang berwarna-warni atau buatkan lagu-lagu Jawi untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik.
2. Latih Sebut dan Tulis Secara Serentak
Jawi ni memang berkait rapat dengan bunyi, jadi sambil ajar anak sebut huruf, ajar juga mereka menulis. Contohnya, baca “ba” sambil mereka tulis “ب”. Buat latihan ni berulang kali supaya anak-anak lebih mudah ingat huruf dan cara ejaan yang betul. Lebih banyak latihan, lebih cepat mereka mahir!
3. Aktiviti Interaktif yang Menyeronokkan
Anak-anak ni lebih suka kalau belajar sambil main. Jadi, apa kata buat aktiviti yang menarik? Main teka-teki huruf, sambung tulisan, atau buat kuiz ringkas. Kalau ada telefon atau tablet, boleh cuba juga aplikasi pembelajaran Jawi yang interaktif. Biar mereka rasa seronok belajar !

Jangan Mudah Putus Asa Bantu Anak Lemah Jawi Jadi Mahir Dengan Berkesan
4. Aplikasikan dalam Kehidupan Seharian
Bukan hanya dalam buku teks sahaja, kita boleh ajar Jawi dalam kehidupan seharian. Contohnya, ajar mereka baca tulisan Jawi di papan tanda, surat khabar, atau iklan di luar sana. Boleh juga tulis nama mereka atau benda-benda di rumah dalam Jawi. Bila mereka nampak Jawi digunakan di sekeliling, mereka akan rasa Jawi itu penting dan berguna.
5. Bahan Bacaan yang Menarik
Beri anak buku cerita pendek atau komik dalam Jawi yang sesuai dengan umur dan tahap mereka. Gambar yang menarik pasti buat mereka lebih teruja nak baca. Jangan beri teks yang terlalu susah kerana itu boleh buat mereka rasa kecewa. Pilih bahan bacaan yang mudah dan menyeronokkan!
6. Belajar Secara Perlahan dan Bertahap
Jangan cuba ajar semua sekali gus. Mulakan dengan ayat yang pendek dan mudah, dan perlahan-lahan naikkan kesukaran. Pastikan anak-anak faham setiap langkah sebelum teruskan ke peringkat seterusnya. Jangan terburu-buru, biar mereka belajar ikut kadar mereka.
7. Gunakan Teknik Berirama atau Lagu
Anak-anak lebih mudah ingat bila ada irama atau lagu. Anda boleh cipta lagu atau irama untuk ejaan perkataan Jawi. Contohnya, cipta lagu mudah yang mengandungi ejaan huruf-huruf Jawi. Ini bukan sahaja membantu mereka ingat dengan lebih cepat, malah ia juga menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
8. Sokongan Ibu Bapa yang Berterusan – Cara Bantu Anak Lemah Jawi Jadi Mahir
Jangan biarkan anak-anak belajar sendiri. Luangkan masa bersama mereka, walaupun hanya 10 hingga 15 minit sehari. Latih mereka di rumah secara konsisten. Jangan lupa beri pujian, walaupun untuk kemajuan yang kecil. Pujian boleh beri mereka semangat untuk terus berusaha. Selain itu, sokongan emosi juga penting, supaya mereka rasa dihargai dan tidak putus asa.
BACA JUGA: KELAS ONLINE UPKK
9. Beri Masa dan Peluang untuk Belajar
Setiap anak berbeza dan ada yang mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menguasai Jawi. Jadi, jangan cepat putus asa jika mereka lambat. Yang penting, kita teruskan memberi peluang dan galakan. Dengan kesabaran, anak-anak akan lebih mahir, dan kita akan nampak hasilnya nanti!
Jawi bukan hanya sekadar tulisan, ia adalah warisan budaya yang perlu kita teruskan. Jangan biarkan anak-anak merasa takut atau terbeban dengan Jawi. Dengan sedikit usaha dan pendekatan yang betul, Insya Allah mereka akan seronok belajar dan mahir dalam tulisan Jawi. Jangan lupa, usaha kita sekarang untuk masa depan mereka !
Ustazah Azizah


Belajar jawi best lagi2 kalau dah dapat baca lancar mmg puas…heheh
ya betul .. alangkah mudahnya subjek jawi jika kita tahu teknik yang betul untuk ajar anak